NURHAYAT TAMAM menunjukkan kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis di rumahnya di Felda Bukit Batu, Kulai, Johor, baru-baru ini.

Selepas menamatkan per­khidmatan sebagai anggota tentera darat pada 1987, Nurhayat Tamam, 60, melakukan pelbagai pekerjaan sebelum bertugas sebagai Pegawai Keselamatan di sini.

Sepanjang 16 tahun sebagai Pegawai Keselamatan, dia ada membuat caruman dengan Perkeso sebelum menamatkan tugasnya pada 2016 kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.

Kaki kanannya dipotong di­sebabkan penyakit kencing manis pada Mac tahun lalu, menyebabkan dia tidak mampu lagi bekerja untuk menyara keluarga.

“Sebelum ini pada 2014, jari kaki kiri juga dipotong kerana disebabkan penyakit sama, namun pada tahun lalu, kaki kanan bermula dari bahagian paha terpaksa dipotong,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Nurhayat berkata, permohonan mendapatkan pencen ilat sudah dikemukakan kepada pihak Perkeso pada Julai tahun lalu tetapi hampa sehingga kini masih belum mendapatkan kelulusan.

“Memandangkan saya sudah tiada pendapatan dan bergantung kepada sumbangan anak-anak, saya merayu supaya Perkeso dapat meluluskan permohonan tersebut,” katanya.

Katanya, dengan adanya pencen ilat dapat menggunakan bagi membeli keperluan harian selain untuk ke hospital mendapatkan rawatan penyakit lain seperti sakit jantung dan darah tinggi.

Pergerakannya kini terbatas dan terpaksa menggunakan kerusi roda yang disumbangkan orang ramai kerana tidak mampu untuk membelinya kerana tiada sumber pendapatan tetap.

“Saya juga difahamkan kelulusan bagi permohonan pencen ilat tersebut hanya 50 peratus dan tidak mencapai 100 peratus bagi membolehkan pihak Perkeso membayarnya,” katanya.

Nurhayat dan isterinya, Rahimah Sapi, 58, yang juga merupakan bekas anggota tentera dari Unit Semboyan berharap Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) dapat melihat masalah yang dialaminya ketika ini.

Memandangkan dia kini tidak mampu lagi bergerak dengan lancar, bantuan dan sokongan JHEV amat diperlukan dengan memudahkan segala permohonan yang dikemukakan.

“Sekurang-kurangnya bantuan sesuai dapat disalurkan, ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga tanpa bergantung kepada anak-anak. Ini kerana mereka juga mempunyai tanggungjawab masing-masing,” katanya.