Penyerahan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilakukan se­belum baginda berkenan merasmikan Masjid Jamek Chaah, di sini tengah hari kelmarin.

Memorandum diserahkan Ke­tua Dewan Pemuda Pas Johor, Juwahir Amin; Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid; Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Md. Salleheen Mohamad dan Pengerusi Belia 4B Johor, Mohd. Hafiz Jalalludin.

Seramai 200 anak muda turut hadir semasa penyerahan memorandum tersebut sambil melaungkan takbir Allahuakbar dan daulat tuanku.

Mereka mewakili Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas selain NGO seper­ti Gerakan Setia Johor, Majlis Belia Negeri Johor, Pesaka dan Maj­lis Belia Daerah-daerah.

Memorandum itu menyentuh latar belakang perjanjian Statut Rom serta sokongan seluruh anak muda dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu am­nya dan Sultan Johor Khususnya.

Terdahulu Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Masjid Jamek Chaah dan baginda diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebelum menunaikan solat Jumaat bersama-sama lebih 1,000 jemaah.

Baginda dan Tunku Ismail turut menunaikan solat hajat bagi mendoakan supaya krisis pencemaran sisa toksik di Su­ngai Kim Kim, Pasir Gudang dapat diatasi segera dan mangsa-mangsa kembali pulih.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Pengerusi masjid, Sukaimi Boyamin berkata, Masjid Chaah yang dibina sejak 1946 mula dinaik taraf secara keseluruhannya pada April 2015 dan setahun kemudian mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah berban­ding 600 sebelum ini.

“Ruang solat sebelum ini menjadi terhad khususnya ketika solat Jumaat ekoran kepadatan penduduk yang semakin bertambah. Meskipun dibina baharu dengan kos bernilai RM3.5 juta, namun identiti dan reka bentuk asal Masjid Chaah ini terus dikekalkan,” katanya.