Pasangan suami isteri, Hasreen Sairi, 38, dan Norhaslinda Abdul Rahman, 33 serta empat anak yang berusia 11 hingga dua bulan sebelum ini mendiami bangsal sejak enam bulan lalu di kampung berkenaan.

Bagaimanapun penderitaan keluarga itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik yang simpati dengan nasib mereka apatah lagi tidak sampai dua minggu lagi akan menyambut Syawal.

Menurut Dr. Md. Farid, langkah memindahkan mereka bagi memastikan mereka dapat meraikan Aidilfitri dengan selesa selain demi keselamatan dan mereka memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

“Proses pemindahan mereka turut dibantu oleh penduduk kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang perihatin dengan nasib keluarga tersebut berikutan terpaksa menjalani ibadah puasa di bawah khemah sebelum ini.


Pegawai Khas di Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai, Musa Khamis (kanan) melawat anak-anak Hasreen Sairi yang kini dtempatkan sementara di sebuah Homestay di Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas, Johor, Pontian, Johor, hari ini.

“Kerja-kerja tersebut telah diuruskan oleh Pegawai Khas di Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai, Musa Khamis semalam dan mereka sekeluarga gembira dengan penempatan sementara itu.

“Alhamdulilah kami sentiasa mengambil berat mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Tanjung Piai dan tidak pernah mengabaikan mana-mana pihak yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga itu hari ini.

Md. Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pada awal pihaknya sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM6,000 bagi kerja-kerja pembinaan rumah untuk keluarga tersebut.

“Bagaimaanpun kos pembinaan meningkat kepada RM20,000 selepas penambahaan kemudahan lain seperti bekalan elektrik dan air selain pembinaan tambahan bagi tandas dan dapur,” ujarnya

Katanya, rumah baharu itu akan dibina berhampiran bangsal yang ada sekarang ini dan pegawai dari Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri sudah datang meninjau kawasan tersebut. - UTUSAN ONLINE