Mohd. Daniel Hakim Abdullah, 16, berkata, mereka enam beradik berusia lingkungan 14 bulan hingga 17 tahun sudah menetap di rumah kedai tersebut hampir dua bulan lalu sejak dia mula bekerja di kedai runcit di situ.

Katanya, kehidupan mereka berubah setelah kematian ibu pada Disember tahun lalu sebelum ditinggalkan bapa seminggu kemudian atas alasan bekerja di Melaka.

“Mujur ketika saya mula bekerja di sebuah kedai, majikannya bermurah hati membenarkan kami menggunakan dua bilik di tingkat atas secara percuma. Jadi, kami mengambil keputusan untuk tinggal di situ kerana tidak mampu untuk terus menyewa di Kampung Tenang.

“Sudah lebih sebulan kami tinggal di sini. Sambutan hari raya Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza berbanding tahun dahulu, mujur ada insan yang sudi membelikan baju hari raya untuk kami enam beradik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, beberapa korporat dan perseorangan yang hadir ke tempat tinggal mereka yang tidak seberapa itu memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian termasuk beras, makanan kering, biskut, minuman pra campuran dan lain-lain. - UTUSAN ONLINE