Pelaburan dan peluang perniagaan terus melimpah. Ini semua merupakan manifestasi terhadap usaha bersungguh-sungguh kerajaan negeri dan diyakini Johor akan terus menempuh fasa lebih menakjubkan pada masa depan.

Negeri ini bakal menjadi kuasa ekonomi baharu untuk Malaysia. Apatah lagi status ekonominya terus kukuh sekali gus menarik pelabur dalam dan luar negara untuk terus melabur di negeri ini biarpun iklim ekonomi global tidak menentu pada masa kini.

Selain sokongan dan dorongan yang ditunjukkan Sultan Ibrahim terhadap pembangunan pesat itu, dasar kerajaan negeri yang pro bisnes dan polisi mesra pelabur selain hala tuju pembangunan yang jelas diyakini menjadi pilihan negara luar.

Satu daripada kawasan komersial dan mesra pelaburan adalah di Iskandar Malaysia yang terus berjaya menarik pelaburan. Sebagai contoh, sejak ditubuhkan pada 2006, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mencatat jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM273 bilion hingga Jun 2017.

Daripada jumlah tersebut, RM143 billion atau 60 peratus adalah pelaburan domestik manakala RM94 bilion (40 peratus) pelaburan asing.

Menerusi pelaburan terkumpul itu, sebanyak RM130.55 bilion atau 55 peratus merupakan pelaburan yang sudah direalisasikan sehingga kini.

Bagi tempoh itu, sektor perkhidmatan seperti pelancongan, pendidikan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, industri kreatif dan logistik memperoleh RM22.40 bilion termasuk teknologi baharu.

IRDA selepas ini akan memberi lebih tumpuan kepada empat sektor dalam usaha meningkatkan pelaburan di kawasan Iskandar Malaysia pada masa akan datang.

Empat sektor berkenaan adalah pelancongan, industri kreatif, logistik dan perkhidmatan kewangan yang akan dipelbagaikan perusahaan di wilayah berkenaan selepas sektor elektrik dan elektronik, minyak dan petroleum serta makanan dan minuman.

Selain itu, Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang merupakan satu lagi 'permata' dari bumi selatan. RAPID bakal menerima pelaburan baharu sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor minyak dan gas di negara ini.

RAPID menerima beberapa permohonan pelaburan di Pengerang oleh beberapa syarikat yang berminat dan perincian pelaburan itu sudah sedia untuk diumumkan tidak lama lagi.

Justeru, rakyat akan dapat melihat sejauh mana kepentingan industri berkenaan dan produk petrokimia hiliran, satu daripada bidang tumpuan utama kerajaan.

Begitu juga Taman Perindustrian Pengerang (PIP) yang dibangunkan Johor Corporation (JCorp) akan menjadi satu-satunya kawasan perindustrian berskala besar di Pengerang dan bakal menarik pelaburan kira-kira RM15 bilion.

Sehingga kini, lebih 10 bakal pelabur menunjukkan minat untuk beroperasi di situ yang menyokong RAPID Petronas. Ini akan merancakkan lagi aktiviti pembangunan di kawasan Pengerang.

Malah, taman perindustrian yang dijangka mewujudkan 3,600 peluang pekerjaan serta limpahan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat itu akan membantu mencapai sasaran menjadikan Johor sebagai hab minyak dan gas di rantau ini.

PIP adalah seluas 316 hektar, terletak bersebelahan tapak RAPID Petronas dan akan dibangunkan dengan ekosistem yang inklusif bagi memenuhi permintaan industri minyak dan gas terutama industri hiliran.