Dalam operasi kira-kira pukul 8.15 pagi itu, bapa kepada lapan kanak-kanak itu bagaimanapun melarikan diri sebaik sahaja menyedari kedatangan pihak berkuasa.

Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, kesemua kanak-kanak itu berusia enam bulan, setahun, 3, 6, 9, 12, 13 dan 16 tahun ditemukan dalam keadaan daif dan tidak terurus sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kanak-kanak ini mendakwa dijaga oleh bapa mereka yang berusia 42 tahun selepas ibu mereka dihantar ke pusat pemulihan dadah dalam satu serbuan yang diadakan oleh pihak berkuasa pada Februari lalu.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan, mereka ini tidak dijaga dengan baik dan diabaikan dan untuk itu kita telah menyelamatkan kesemua mereka untuk ditempatkan di rumah sementara kanak-kanak mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pemeriksaan tersebut yang dibuat hasil maklumat orang awam melibatkan anggota dan pegawai JKM serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut mendapati tiga kanak-kanak berusia enam bulan, setahun dan 3 tahun tidak mempunyai dokumen pendaftaran. - UTUSAN ONLINE