Ejen Pengembangan Pertanian Kahang, Mohd. Adip Kosnan berkata, jentera itu bertujuan memudahkan kerja-kerja menanam padi dengan menggunakan mesin khusus berbanding sistem tabur yang diamalkan pesawah sebelum ini.

Menurutnya, kelebihan menggunakan mesin benih atau pointed seeder itu adalah penggunaan benih dengan cara yang optimum dan tidak membazir berbanding sebelum ini.

“Jentera ini juga dapat mengawal penyakit rumpai dan mengurangkan penggunaan tenaga manusia terutama ketika proses menanam padi.

“Dengan jentera ini, kita dapat menjimatkan masa misalnya dalam keluasan 48 hektar tanah, kita dapat laksanakan tidak sampai dua minggu jika dilakukan secara konsisten,” katanya selepas Program Petak Promosi Penanaman Padi menggunakan Jentera Tanam (Transplanted) dan Pointed Seeder di kawasan penanaman padi di Kahang, dekat ini.

Mohd. Adip berkata, pesawah di kawasan lain turut digalakkan untuk menggunakan kaedah berke­naan berikutan jentera itu masih belum diperluaskan di negeri ini.

Beliau berkata, penggunaan jentera berkenaan juga dapat menambah hasil pengeluaran kerana benih padi yang digunakan adalah berkualiti tinggi, iaitu jenis MR269.

“Bagi pesawah yang ingin membeli jentera tersebut mereka boleh mendapatkan dana daripada Pusat Peladang Kawasan atau menyewanya,” katanya.