Jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bertindak sebagai penasihatnya.

Mujahid berkata, jawatankuasa tersebut akan melakukan sesi keterlibatan dengan semua pemegang taruh termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dijangka selesai sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, paling penting adalah melibatkan persetujuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum pindaan akta melibatkan kedua-dua organisasi itu dapat dilaksanakan bagi membenarkan klausa pembekuan aset, harta atau wang ringgit.

“Doakanlah sebab ia melibatkan sedikit pindaan akta. Contohnya, kalau ada keputusan mahkamah itu boleh diikat untuk membeku harta atau duit, namun dia tidak kata mahkamah syariah, maksudnya mahkamah sivil.

“Jadi, kalau hendak sebut mahkamah syariah, kena ada satu pindaan dan benda-benda itu yang kita sedang uruskan,” katanya.

Mujahid berkata demikian ketika ditemui dalam Jamuan Aidilfitri 2019 anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Mujahid mengulangi kata-katanya supaya tidak mempolitikkan 10,000 kuota tambahan haji kerana semuanya bergantung atas budi bicara Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, justeru tiada kena mengena dengan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan.

“Bukannya sebab dia (Raja Salman) bagi dahulu (kuota tambahan) kerana (kerajaan) Barisan Nasional, tak ada isu langsung. Pada tahun 2014, 2015, 2016, 2017 dia tidak bagi, maksudnya bukan apa-apa. Kalau dia hendak bagi, dia bagi dan kalau dia tidak hendak bagi, dia tidak bagi.

“Cuma kalau dia bagi lambat pun kita takut juga sebab libatkan persediaan kita, maknanya kita kena cari hotel dan logistik dan sebagainya. Selalunya, dia akan bagi saat akhir tetapi itu pun tiada jaminan,” katanya. - UTUSAN ONLINE