Baginda bertitah, ini boleh dilakukan menerusi program pembangunan atlet yang berjangka panjang dengan melibatkan agensi-agensi kerajaan dan kelab-kelab sukan itu.

"Manfaatkanlah kelebihan berjiran dengan Thailand untuk mengatasi cabaran daripada sudut kewangan, kepakaran, kekangan masa dan tenaga," titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan majlis penutupan Kejohanan Muay Amatur Remaja Peringkat Kebangsaan 2019 di Arena Futsal, Kompleks Sukan Negeri di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim dan Presiden Persatuan Muay Malaysia, Datuk Mohd Fairus Mohamed Urep.

Berangkat sama, anakanda kedua baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Julia G. Bentley.

Persatuan Muay Malaysia menggunakan platform kejohanan ini bagi memilih peserta untuk mewakili negara ke Pertandingan Muaythai Dunia Ke-16 anjuran World Muaythai Federation (WWF) di Bangkok, Thailand, pada 12-20 Mac ini.

Program tersebut adalah anjuran Persatuan Muay Malaysia dan mendapat kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan serta Jabatan Belia Dan Sukan negeri.

Pemenang Kategori 51-54kg ialah Ariff Suhail dari Kedah; Mohd Radzi dari Perlis (Kategori 54-57kg) dan Mohd Adam dari Pulau Pinang (Kategori 58-60kg). - UTUSAN ONLINE