Kamarul Baharin A. Kasim

Ketua Pengarahnya, Kamarul Baharin A. Kasim berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan beberapa program menarik yang akan diadakan sepanjang tahun ini di kesemua muzium di seluruh negara.

Beliau berkata, antara program yang bakal menjadi tarikan utama ialah program bermalam di muzium di seluruh negara sempena sambutan Hari Kebangsaan, pameran Raja Kita dan Pameran Tenunan Songket ASEAN.

“Selain pameran Natures Yield Wonders of Art (Nyawa):Bird yang sedang diadakan di Muzium Alam Semula Jadi sejak 28 Januari lalu sehingga 15 Mei ini, kita turut merancang pelbagai program menarik lain seperti pameran Seni Bina Istana Czech pada 28 Februari ini sehingga 31 Mac ini dan pameran Wayang Kulit Sedunia dengan mengangkat tema Bayangan Purba pada 25 Oktober hingga 30 November ini.

“Pameran Raja Kita akan diadakan sempena hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong baharu nanti manakala program bermalam di muzium sempena Hari Kebangsaan akan diadakan di muzium utama di seluruh negara berbanding tahun-tahun sebelumnya yang hanya dibuat di Muzium Negara kerana permintaan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian pameran Nyawa: Bird di Muzium Alam Semula Jadi di Presint 15 di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Pengarah Muzium Alam Semula Jadi, Farizawati Sabri.

Mengulas mengenai pameran Nyawa: Bird, katanya, pameran tersebut yang dibuat dengan kerjasama Galeri Serdang Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan sebanyak 20 spesimen burung yang terdapat di Malaysia dan luar negara.

Katanya, pameran bertemakan burung itu dibahagikan kepada lima bahagian iaitu kehidupan sa­ins, budaya, terapi, reka bentuk dan inovasi.

Sementara itu, Farizawati berkata, antara tarikan utama dalam pameran tersebut ialah pelbagai jenis sangkar burung atau jebak yang diukir secara tradisional, lukisan cat, origami dan spesimen burung.

“Tarikan utama dalam pameran ini ialah burung lang siput, burung cenderawasih yang terkenal dengan pelbagai mitos dan burung bower yang sangat terkenal de­ngan struktur binaan sarangnya yang menyerupai gazebo daripada ranting kayu bagi memikat burung bower betina.

“Kita berharap pameran ini dapat memberikan pendedahan kepada pengunjung untuk memahami peranan burung dalam kehidupan dan melihat gabungan sains serta seni dalam pameran yang diadakan,” katanya.