Lebih memilukan, hasrat arwah suaminya, Khoiril Ghaffar Mohd. Sabardin, 30, untuk menimang cahaya mata pada September ini turut tidak kesampaian.

Isteri Khoiril, Nurhidayah Ramli, 30, berkata, dia tidak menyangka dan terkejut sebaik sahaja menerima berita suaminya maut akibat terjatuh di tapak pembinaan bangunan ditempat kerjanya itu.

Katanya, difahamkan suaminya jatuh daripada tingkat empat bangunan tersebut seterusnya mengakibatkan kecederaan parah pada bahagian perut dan dada.

“Saya terkilan kerana hasrat arwah untuk menimang cahaya mata kedua selepas bayi pertama mereka meninggal dunia dalam kandungan September tahun lalu tidak kesampaian. Arwah kelihatan tidak sabar untuk menimang cahaya mata kedua ini.

“Dia sempat menemani saya membuat imbasan bayi dalam kandungan yang mengesahkan jantina bayi ini juga perempuan. Suami juga sempat memilih beberapa nama untuk bayi yang bakal saya lahirkan iaitu Dian Ariana atau Dian Arisya,” katanya sebak ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Kampung Bukit, Mukim Kurong Hitam di sini, hari ini.

Tambahnya, sepatutnya dia dan suami menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halamannya di Taiping, Perak namun perancangan itu tidak menjadi kenyataan.

Malah katanya, segala kelengkapan untuk menyambut lebaran kali ini juga telah tersedia dengan suami telah membeli baju Melayu berwarna coklat untuk dipakai pada hari raya.

“Walaupun berat dugaan yang terpaksa saya hadapi, namun saya reda dan perlu kuat untuk menempuh kehidupan bersama bayi yang bakal dilahirkan pada awal September ini,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Khoiril Ghaffar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam di sini kira-kira pukul 11.30 pagi.- UTUSAN ONLINE