ISMAIL MOHAMED

Tumpuan dan perhatian sudah tentu diberikan kerana Muhyiddin bukan ikon asing dalam arena politik terutamanya di Pagoh, manakala Ismail pula yang merupakan ‘anak didiknya’ mempunyai kekuatan dan keyakinan untuk berdepan mentornya itu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULHISHAM ISAHAK serta jurugambar, Ishak Rahmad, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh itu menceritakan keyakinan dan apa yang akan dilakukan di kawasan tersebut jika dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 

UTUSAN: Barisan Nasional (BN) sudah melancarkan manifesto khas untuk Parlimen Pagoh. Apa tawaran yang diberikan kepada penduduk Pagoh dalam tempoh lima tahun akan datang?

ISMAIL: Manifesto ini lebih tertumpu terhadap kehendak akar umbi melalui kajian yang kita buat. Contohnya isu perumahan, kita janjikan 4,000 unit rumah mampu milik di lima mukim dan 1,000 unit tapak rumah di tiga mukim. Pemohon nanti boleh lihat skim-skim yang bersesuaian. Untuk kemudahan awam, kita rancang bina enam sekolah, tujuh dewan, enam masjid dan surau yang baharu selain sebuah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Begitu juga kita janjikan enam jalan utama akan dinaik taraf, ini termasuk sembilan projek menaik taraf sistem perparitan dan saliran serta tebing sungai.

Bagaimana dengan kemuda­han lain terutama pejabat ke­ra­jaan yang ketika ini dilihat ti­dak mampu menampung ke­per­­luan berikutan kepadatan penduduk­.

Kita sedar peningkatan penduduk dan untuk itu dalam manifesto Pagoh kita bina sebuah jambatan di Kampung Renchong dan Kampung Kundang Ulu. Kita juga mohon dinaik taraf Klinik Kesihatan Pekan Bukit Pasir dan Klinik Kesihatan Pekan Pagoh selain membina sebuah balai bomba kecil di pekan Bukit Kepong, menggantikan pondok polis menjadi balai polis di Simpang Durian Chondong, memasang lampu jalan dari Penchu ke Durian Chondong, memastikan masalah bekalan air selesai di Bukit Serampang, menaik taraf internet dan membuka pusat Internet desa, bina dua tadika Kemas dan sebuah pusat asuhan. Ini termasuk dalam memajukan bidang ekonomi terutama industri asas tani, pelancongan, mewujudkan 200 unit ruang niaga dan 50 unit bengkel berpusat. Hab usa­hawan dan pendidikan juga kita tekankan dalam manifesto ini.

Cabaran menanti YB apabila bertanding kerusi Parlimen Pagoh kerana berdepan penyan­dangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cukup berpengalaman, berpengaruh dan ikon di Pagoh. Apakah strategi mengembalikan kerusi Pagoh kepada BN.

Kita akui Tan Sri Muhyiddin sudah lebih 40 tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pagoh. Perkhidmatan beliau sebelum ini adalah di bawah kerajaan BN de­ngan menggunakan lambang BN. Kita akui sumbangannya selama ini. Namun, apabila beliau sudah masuk pembangkang beliau sukar untuk membangunkan lagi kawasan ini. Perkara ini pernah terjadi dahulu apabila bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Othman Saad keluar UMNO dan sertai parti Semangat 46. Akhirnya kita lihat orang Pagoh menilai parti dan bukan individu. Sejarah sudah terbukti. Selain itu apabila PPBM ditubuhkan dan masuk ke Pagoh, hanya 500 ahli UMNO tinggalkan parti walaupun pada mulanya dikatakan 5,000 keluar parti. Jumlah 500 ahli keluar parti ini kita dapat daripada senarai UMNO Pusat. UMNO Pagoh kembali kuat apabila program-program yang kita anjurkan mendapat sambutan berbeza dengan program pembangkang. Kita akui simpati terhadap Tan Sri Muhyiddin wujud tapi sebahagian besar orang Pagoh masih mahu bersama BN.

Kita lihat sejak Tan Sri Muh­yiddin Yassin dipecat daripada UMNO, Parlimen Pagoh masih mendapat pembangunan dan tidak dianaktirikan?

Apabila Tan Sri Muhyiddin dipecat saya bertemu Perdana Menteri dan suarakan kepada beliau yang keluar parti hanya Muhyiddin, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Salleh dan beberapa pemimpin lain. Rak­yat Pagoh masih bersama-sama UMNO dan BN. Berdasarkan perjumpaan yang kita buat, orang Pagoh masih setia bersama UMNO dan BN. Oleh yang demi­kian rakyat Pagoh tidak seharus­nya dihukum semata-mata kerana seorang dua pemimpin keluar parti. Jadi Perdana Menteri lihat perkara ini dan akhirnya beri peruntukan kepada saya sebagai ADUN Bukit Serampang (kini DUN Bukit Pasir) untuk peruntukan Ahli Parlimen supaya terus membangunkan Pagoh. Itulah hasilnya apabila orang Pagoh sendiri tidak memberontak dan tidak tunjuk sikap berbeza de­ngan Persekutuan. Orang Pagoh nilai parti, bukan individu, saya juga lega apabila lihat mesyuarat cawangan-cawangan dan bahagian UMNO dapat berjalan lancar tanpa ada unsur sa­botaj. Jadi, kali ini tidak seharusnya orang Pagoh undi pembangkang.

Macam mana dengan pengundi, dikatakan terdapat pertambahan pengundi kira-kira 10,000 orang termasuk golongan muda?

Kita ada 29,000 pengundi hasil usaha jentera Jalinan Rakyat (JR) Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO di sini. Kita ada kira-kira 50,000 pengundi. Mereka jumpa pengundi baharu ini yang majoritinya pengundi putih Melayu. Daripada jumlah itu, 8,000 pengundi muda bersama-sama kita berdasarkan progam-program yang dah kita buat. Saya buat program untuk orang muda dan mereka yang berusia antara 22 hingga 35 tahun hadir, mereka begitu berminat dan dekat de­ngan kita kerana lebih berminat dengan pemimpin muda untuk mengetuai Pagoh. Bagi orang lama pula, mereka kenang jasa BN. Mereka sedar dan faham pemimpin datang dan pergi. Mereka sudah pun melalui saat-saat itu. Pengundi wanita pula tidak ramai sertai pembangkang. Kita yakin dapat sokongan kuat bukan sahaja daripada pengundi wanita tetapi keseluruhannya.