Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi ne­geri, Datuk Md. Jais Sarday berkata, hutan lipur tersebut dibuka semula selepas Jabatan Perhutanan melakukan kajian menyeluruh termasuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan berkenaan.

“Antara langkah keselamatan yang diambil oleh Jabatan Perhutanan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah dengan memasang sistem amaran awal.

“Sistem itu akan berfungsi apabila berlaku peningkatan paras air sungai secara mendadak dengan mengeluarkan bunyi siren bagi memberi amaran kepada pengunjung,” katanya.

Beliau mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merasmikan majlis pembukaan semula Hutan Lipur Pulai 1 sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa di sini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Kulai, Md. Za’nal Misran dan Timbalan Pengarah Perhutanan negeri, Jeffri Abd. Rashid.

Hutan lipur itu ditutup atas nasihat dan kajian Jabatan Mi­neral dan Geosains negeri selepas banjir lumpur pada 2001 menyebabkan struktur tanah menjadi kurang stabil.

Selain mengorbankan lima nyawa, banjir lumpur itu turut menghanyutkan empat buah rumah di Kampung Seri Gunung Pulai yang terletak di kaki Gunung Pulai.

Md. Jais berkata, hutan lipur itu hanya dibuka di bahagian bawah manakala paras tengah dan puncak masih ditutup atas faktor keselamatan.

Katanya, bagi keselamatan pengunjung dan penduduk kampung, hutan lipur itu juga akan ditutup sementara waktu pada musim tengkujuh.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan mengkaji pemasangan sistem amaran awal berkenaan di tujuh hutan lipur yang terdapat di negeri ini pada masa depan.