Gotong-royong yang diketuai Pengurus Kilang, Datuk Rozano Saad turut membaiki kerosakan jalan tersebut yang berlubang yang membahayakan dan pekerjanya pengguna jalan raya lain.

Menurut Rozano, selain kakitangannya, terdapat juga pengguna lain yang berulang-alik dari Kijal dan Teluk Kalong munggunakan jalan tersebut ke tempat kerja mereka di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) dan Pelabuhan Kemaman.

“Tumpahan bijih besi dan arang batu yang bertaburan di atas jalan raya amat membahayakan pengguna jalan raya tersebut terutama penunggang motosikal pada waktu malam dan musim hujan.

“Ada juga pekerja mereka yang membersihkan jalan tersebut tetapi usaha tersebut tidak memadai. Selain tumpahan tersebut, terdapat juga jalan yang berlubang yang membahayakan pengguna motorsikal dan kereta,” katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, pelbagai aduan telah dibuat kepada agensi yang terlibat sejak tahun 2015 tetapi dipandang sepi seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Katanya, apa yang dikesalkan, agensi terbabit seolah-olah lepas tangan dari tanggung jawab dengan menuding jari kepada agensi lain.

“Tidak dinafikan ada juga kontraktor datang menampal lubang-lubang tersebut tetapi hanya bertahan tiga hari dan berlubang lagi,” katanya.

Rozano berkata, pihaknya pernah menawarkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah ini untuk membaiki jalan tersebut mengikut piawaian JKR dengan nilai RM25,000 sepertimana sebut harga yang ditetapkan oleh kontraktor.

“Vetanor akan mendahului bayaran dan akan buat tuntutan kepada JKR tetapi pihak JKR tidak dapat melaksanakan permohonan tersebut kerana ianya bukan prosedur JKR yang sedia ada,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE