muda-2
 

Baginda bertitah tafsiran generasi berwawasan adalah golongan muda yang memiliki cita-cita dan matlamat jelas seterusnya menjadi penggerak terhadap wawasan negara.

"Dinamik yang dimaksudkan di sini ialah perubahan yang lebih baik daripada yang sebelumnya. Individu dinamik tidak boleh memiliki sifat negatif seperti mudah berputus asa, sebaliknya bersemangat menimba ilmu yang meluas,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan majlis penutupan Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis di sini yang turut dihadiri Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Bengkel berlangsung selama tiga hari bermula Selasa itu dihadiri oleh 100 pelajar cemerlang dari 11 sekolah menengah di sekitar Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah para pelajar seharusnya sanggup untuk menghadapi cabaran yang sentiasa mendatang dan negara amat memerlukan generasi seumpama ini bagi mencapai kemajuan dalam setiap aspek.

"Berusahalah dengan bersungguh-sungguh supaya dapat bersaing secara sihat dan mempamerkan iltizam yang tinggi. Setiap individu perlulah berani melakukan perubahan sikap dan minda agar lebih terbuka dan terkehadapan. Sentiasalah berfikiran kreatif dan inovatif dalam melakukan sesuatu perkara," titah baginda.

muda-1
 

Baginda turut menyeru para pelajar untuk terus berlatih memiliki kemahiran yang tinggi serta mempunyai semangat patriotik yang menebal dengan rasa cinta kepada negara yang mendalam.

"Ini secara tidak langsung akan memberikan suntikan semangat kepada pelajar agar lebih berusaha keras, berkorban masa dan tenaga serta memastikan negara akan terus maju dan membangun seiring negara-negara maju yang lain di dunia.

"Untuk menjadi generasi yang berwawasan, pelajar seharusnya memilki ciri-ciri bagi merealisasikan setiap matlamat yang diimpikan. Oleh itu, generasi kini perlulah melakukan perubahan supaya dapat mencapai hasrat negara kita iaitu ‘Generasi Muda Pelapis dan Peneraju Wawasan’," titah baginda.

-- BERNAMA