Pengarah JKKN negeri, Mohd. Radzi Omar berkata, tujuan utama pembukaan galeri berkenaan ialah sebagai pusat rujukan dan kajian seni budaya melalui pameran serta aktiviti yang diadakan di situ.

Beliau berkata, galeri itu telah dirancang dan disediakan sejak tiga bulan lalu dengan kerjasama beberapa pihak yang pakar dalam bidang sejarah, adat dan seni budaya negeri ini.

“Dengan adanya Galeri Seni ini, semua pihak terutamanya para pengiat seni budaya, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan masyarakat dari dalam dan luar negara dapat menimba ilmu dan pengetahuan mengenai seni budaya di Negeri Sembilan.

“JKKN negeri juga memberi ruang dan peluang kepada para pengiat seni budaya yang ingin menyumbang atau meletakkan bahan dan produk seni budaya yang unik untuk dipamerkan kepada para pengunjung,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Galeri Seni JKKN negeri di sini hari ini.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

Menurut Mohd. Radzi, galeri itu juga diwujudkan sebagai pengisian utama dalam Kompleks JKKN negeri yang akan dijadikan sebagai hotspot atau pusat tumpuan informasi seni dan budaya Negeri Sembilan.

Jelasnya, antara program dan aktiviti yang dianjurkan di kompleks itu ialah bengkel tari, pertunjukkan muzik, teater serta aktiviti Jom Belajar termasuk persembahan berkala hujung minggu bertujuan menarik kehadiran pelancong menghayati keindahan seni budaya Negeri SembiIan.