Mantin yang terletak kira-kira 45 minit dari Kuala Lumpur dan 20 minit dari Seremban menawarkan pelbagai jenis durian pada harga berpatutan.

Tinjauan mendapati ada peniaga menjual durian kampung serendah RM2 sebiji, manakala yang lain turut menawarkan tambahan satu kilogram (kg)  durian bagi setiap 10 kg yang dibeli pelanggan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, terdapat banyak pilihan durian antaranya Musang King, IOI, D24, udang merah dan durian kampung yang dijual di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, lokasi tumpuan menjual buah itu adalah antara Batu 8 hingga Batu 12 dengan kira-kira 30 gerai di tepi jalan di sepanjang laluan tersebut.

"Pada hujung minggu kebiasaannya lalu lintas di kawasan itu sesak kerana ramai yang datang membeli durian. 

"Bukan sahaja penggemar durian dari kawasan sekitar tetapi ramai yang datang dari Kuala Lumpur untuk menikmati durian di sini," katanya ketika meraikan kira-kira 30 petugas media Negeri Sembilan dalam program makan durian di sini semalam.

DURIAN kampung yang dijual dengan harga serendah RM2 sebiji di Mantin, Seremban. - UTUSAN ONLINE

DURIAN kampung yang dijual dengan harga serendah RM2 sebiji di Mantin, Seremban. - UTUSAN ONLINE

Menurut Arul Kumar, yang menariknya harga durian di kawasan itu lebih murah berbanding di tempat lain ekoran berlaku persaingan antara peniaga bagi menarik pelanggan.

"Dalam perniagaan ini siapa jual murah kita alu-alukan. Sebagai contoh durian IOI kalau di tempat lain harganya antara RM20 hingga RM25 sekilogram tetapi di sini kalau borong boleh dapat harga lebih murah antara RM10 hingga RM12," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri itu berkata, musim durian membawa rezeki kepada peniaga sehingga ada yang mampu menjual kira-kira lapan tan metrik buah sehari berikutan permintaan tinggi.

"Memang ada beberapa kedai yang terkenal di sini dan ini merupakan tarikan kepada orang luar untuk datang ke Mantin," ujarnya.

Katanya, terdapat beribu-ribu hektar tanah di kawasan itu yang ditanam dengan buah tersebut sekali gus menjadikannya 'syurga' durian serta buah-buahan lain seperti rambutan, manggis dan langsat. - UTUSAN ONLINE