Terkenal dengan produk pelangsingan badan Jus Mate 5 (JM5), nama Dr. Rozmey bersinar lebih awal sebelum kemunculan jutawan kosmetik lain seperti Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida serta Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.

Selepas itu, nama Dr. Rozmey tiba-tiba sepi malah cerita dan produknya sudah lama tidak menghiasi ruangan di media-media cetak mahupun elektronik.

Semalam, Dr. Rozmey tampil membuat sidang akhbar bagi memperkenalkan jenama baharu keluarannya iaitu baja DDR Bio Grow yang berperanan membantu meningkatkan hasil pertanian.

DDR Bio Grow adalah baja polimer yang diekstrak daripada kulit udang dan cengkerang ketam menerusi t
DDR Bio Grow adalah baja polimer yang diekstrak daripada kulit udang dan cengkerang ketam menerusi teknologi biosains dan fasiliti makmal terkini. - UTUSAN ONLINE/ FACEBOOK RASMI Dato Rozmey Herba Prima Marketing
 

Daripada seorang usahawan produk kesihatan, Dr. Rozmey kini kembali namun berwajah baharu sebagai usahawan dalam bidang pertanian yang dilihat lebih luas daripada segi pasarannya.

Dr. Rozmey berkata, DDR Bio Grow adalah baja polimer yang diekstrak daripada kulit udang dan cengkerang ketam menerusi teknologi biosains dan fasiliti makmal terkini.

Katanya, hasrat beliau mengeluarkan jenama tersebut adalah bagi membantu petani dan mengangkat industri pertanian ke tahap mapan melalui baja hasil kombinasi kuasa bio dan lautan itu.

"Idea menghasilkan baja ini tercetus apabila melihat sektor pertanian yang dijalankan ada yang berdepan masalah kerosakan padi dan hasil pertanian berkurangan atas pelbagai faktor antaranya tanah, serangan serangga, siput perosak dan tikus.

"Melihat kepada permasalahan itu, saya bekerjasama dengan seorang rakan iaitu pakar kimia dalam polimer bagi menghasilkan baja yang dapat membantu petani meningkatkan hasil pertanian," katanya.

Kata beliau, baja tersebut mula berada di pasaran sejak tiga bulan lalu dengan sambutan yang diterima memberangsangkan selain mendapat maklum balas positif daripada pesawah dan petani.

"Antara maklum balas diterima ialah pesawah mendapat hasil padi sebanyak 80 peratus lebih tinggi untuk keluasan 0.3 hektar tanah.

"Hasil itu iaitu antara 2.3 tan metrik hingga 2.5 tan metrik. Sebelum ini, hasil padi adalah 1.3 hingga 1.5 tan metrik sahaja,” katanya.

Tambah beliau, DDR Bio Grow bersaiz satu liter bagi kegunaan 1.3 hektar sawah semusim (RM65) dan empat liter (RM199) untuk kegunaan berkeluasan 0.9 hektar.- UTUSAN ONLINE