Kedua-dua individu berusia 50 dan 34 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, di sini kira-kira pukul 6.30 petang, semalam.

Menurut sumber, penahanan kedua-duanya itu susulan bantahan beberapa pihak termasuk kontraktor yang tidak berpuas hati kerana mendakwa pengagihan kontrak diberikan kepada kroni CEO terbabit.

Malah, penyelewengan dalam proses tender itu menyebabkan syarikat-syarikat yang tidak memenuhi syarat ditetapkan seperti memiliki pekerja dan lori-lori mencukupi terpilih untuk melakukan kerja.

“Syarikat yang memenuhi syarat pula tidak dipilih dan mereka sebaliknya dikehendaki menjalankan kerja-kerja pengutipan sisa pepejal sebagai sub kontraktor kepada pihak yang mendapat tender terbabit.

“Anggaran projek bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini dan Perlis berjumlah RM360 juta setahun,” kata sumber di sini hari ini.

Sumber itu menambah, individu terlibat dan beberapa pihak juga didakwa menubuhkan satu tabung kelab kononnya bagi menjaga kebajikan syarikat-syarikat terlibat.

“Semua kontraktor yang berjaya dalam tender diwajibkan untuk menyumbang antara satu hingga dua peratus daripada nilai projek ke dalam tabung itu. Dianggarkan sebanyak RM3.6 juta disumbangkan ke dalam tabung tersebut setiap tahun,” dakwanya.

Ujar sumber itu lagi, tabung tersebut disyaki digunakan sebagai kaedah mengutip wang rasuah daripada kontraktor bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Hasil risikan selama lebih enam bulan mendapati tabung itu telah disalahgunakan untuk membeli harta, kenderaan dan lawatan peribadi ke luar negara,” tambahnya.

Kedua-dua individu tersebut kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. -UTUSAN ONLINE