Presiden Persatuan Penyelidikan Cendawan Malaysia, Dr Azhar Mohamad berkata, tumbuhan itu mempunyai bahan polisakarida dan anti oksidan untuk membuang radikal bebas dalam tubuh sekali gus meningkatkan imunisasi selain kandungan serat yang membantu sistem pelawasan.

Beliau yang juga Ketua Projek Cendawan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) berkata, kandungan polisakarida dan anti-oksidan yang tinggi dalam cendawan juga adalah bahan yang amat dicari dalam industri kecantikan.

“Pengambilan cendawan secara berterusan sebagai pemakanan membantu pengaktifan kolagen dalam tubuh sekali gus memberi kesan anti penuaan.

“Mekap yang paling mudah dibuat pula adalah dengan menggunakan cendawan kering yang dikisar halus sebelum dicampur dengan tepung jagung atau beras pulut supaya mudah lekat di muka.

“Kita pakai seperti ‘mask’ dan ia boleh menegangkan kulit muka. Masalahnya tidak ramai orang tahu dan nampak potensi besar cendawan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 9 Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Berhad (Kokulac) di Kedai Menanti di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga KOKULAC, Hasmi Hassan.

Sementara itu, Azhar berkata, sudah tiba masanya untuk penubuhan sebuah badan berkanun khusus yang bertanggungjawab memantau industri penanaman cendawan di negara ini.

Beliau berkata, peluang menjana pendapatan melalui penanaman cendawan sebenarnya sangat luas bermula dari peringkat penghasilan benih sehingga pengeluaran produk hiliran untuk pasaran tempatan dan juga luar negara.

“Cendawan sudah diiktiraf sebagai komoditi tetapi belum ada satu badan yang mengawal seperti tanaman komoditi contohnya Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM); Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

“Pada masa ini, majoriti penanam cendawan melakukannya secara hobi dan kecil-kecilan sahaja menyebabkan pasaran mereka tertumpu dalam kawasan sekitar sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Hasmi pula berkata, pihaknya kini sedang memperkasakan usaha supaya negeri ini mampu muncul sebagai hub penanaman cendawan di Pantai Timur.

Katanya, terdapat kira-kira 50 penanam cendawan yang aktif di negeri ini yang membekalkan hasil mereka untuk pasaran tempatan.

“Kita sudah ada dua makmal benih yang diusahakan ahli Kokulac sendiri sejak tahun lalu sebagai alternatif kepada penanam yang selama ini membeli benih dari Thailand,”katanya. - UTUSAN ONLINE