Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, beliau bersama-sama ahli-ahli lem­­baga LPSVN bersetuju nama tersebut ditukar seperti yang dicadangkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Usaha ini sebagai hala tuju dan strategi melalui pelan transformasi yang akan dilaksanakan dalam masa tiga tahun lagi. Antaranya, bagaimana kita mahu menjana keuntungan daripada aset yang dimiliki dan bakat-bakat seni di negara ini untuk diketengahkan.

“Selain itu, kami berusaha bagi mempromosikan karya-karya penggiat seni bukan sahaja dalam negara, malah ke peringkat global, sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya da­lam sidang akhbar pada majlis BSVN bersama media di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah LPSVN, Prof. Datuk Dr. Mohamad Najib Ahmad Dawa.

Tambahnya, walaupun masih baharu dalam industri tersebut, beliau berkeyakinan dapat membawa pembaharuan kepada Balai Seni Negara dengan kerjasama da­ripada semua pihak.

“Selain itu aspek pengurusan, pemasaran dan promosi sangat penting dalam usaha menjadikan transformasi Balai Seni Negara tercapai. Kerjasama daripada pemain industri seni bersama-sama pihak pengurusan perlu dipertingkatkan supaya dapat memberi impak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, LPSVN telah merangka sejumlah lapan aktiviti dan pameran yang akan berlangsung kepada orang ramai pada tahun hadapan.