Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, penjadualan semula pinjaman dilaksanakan selepas pihaknya mendapati kebanyakan usahawan TEKUN di seluruh negara tidak mampu membayar balik pinjaman mengikut perjanjian asal.

Katanya, langkah itu memberi impak positif apabila kadar bayaran balik pinjaman oleh usahawan semakin baik, iaitu meningkat sehingga 20 peratus dengan Kelantan mencatat hanya sekitar tujuh peratus peminjam yang gagal membayar balik.

"Melalui penjadualan semula ini, tempoh pinjaman usahawan yang menghadapi masalah dalam perniagaan dipanjangkan supaya mereka dapat membuat bayaran bulanan dengan kadar lebih rendah.

"Walaupun bilangan peminjam di Kelantan adalah kelima tertinggi, dari segi pulangan balik negeri ini nombor satu terbaik kerana hanya merekodkan sekitar lima hingga tujuh peratus mereka yang tidak membayar balik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan TEKUN Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung selama tiga hari sejak Khamis lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor.

Mohd. Redzuan dalam pada itu berkata, kadar pembayaran balik pinjaman yang meningkat itu itu juga merupakan rekod terbaik yang pernah dicatatkan sejak 20 tahun TEKUN Nasional ditubuhkan.

Tambah beliau, antara langkah lain yang dilaksanakan setakat ini bagi meningkat kadar bayaran balik ialah membuat pemantauan rapi terhadap aktiviti perniagaan usahawan terbabit.

"Sebelum ini, kita luluskan pinjaman kepada usahawan tanpa memantau aktiviti mereka sehingga ada yang menyalahgunakan pinjaman untuk kegunaan peribadi seperti membeli motosikal dan pakaian.

“Namun, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Pusat, kita pantau perkembangan usahawan. Kalau nampak mereka cuba nak ‘lari’ dan enggan teruskan perniagaan, kita akan panggil dan latih mereka balik,” katanya. - UTUSAN ONLINE