Peguam Tan Poh Lai yang mewakili 51 Orang Asli Seletar dalam tuntutan berkenaan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi See Mee Chun menggalakkan PTG Johor selaku responden supaya mengadakan rundingan sebelum pengurusan kes itu yang ditetapkan pada 5 Ogos depan.

“Pada 3 Jun lalu, kesemua Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai sudah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menyelesaikan isu pampasan tanah berkenaan dan pada hari ini ditetapkan pengurusan kes ini, mahkamah menggalakkan supaya mereka berunding dengan pihak plaintif sekurang-kurangnya sekali rundingan sebelum kes disebut semula.

“Sejak permohonan semakan kehakiman itu dibuat tiada wakil dari kerajaan negeri mahu pun daripada pihak PTG menghubungi plaintif untuk berunding,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Sivil di Menara Cyberport di sini hari ini.

Kesemua Orang Asli Seletar itu yan diketuai Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, berjaya dalam saman pemula yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga defendan pada 2008 iaitu Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 September 2010, semua Orang Asli itu perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, berhubung pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang dan pampasan itu perlu ditaksir oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.

Poh Lai berkata, pada prosiding hari ini, pihak PTG Johor diwakili peguam Suhana Sabian.

Tambahnya, permohonan semakan kehakiman merupakan perkara serius dan sehubungan itu, pihaknya merayu pihak PTG supaya mengadakan rundingan dengan pihak plaintif supaya perkara itu dapat diselesaikan di luar mahkamah. - UTUSAN ONLINE