Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, program tersebut bertujuan mewujudkan masyarakat belia yang cemerlang dari segi minda serta peribadi selain tidak terjerumus dalam kegiatan jenayah atau dadah.

“Program yang melibatkan tempoh lima tahun itu adalah komitmen bersama GB4B dengan PDRM yang memberikan lebih banyak penekanan dalam soal pendidikan golongan belia tentang bahayanya jenayah serta najis dadah.

“Menerusi program itu, pihak berkuasa bersama pertubuhan belia akan mengambil pendekat­an mengadakan pertemuan de­ngan lebih kerap dengan golongan muda di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program tersebut di Hotel Concorde, di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi GB4B Malaysia, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin, Pengerusi GB4B Selangor, Tuan Ahmad Zakir Ab­dul Rahman, Pengerusi GB4B Parlimen Kota Raja, Muhd.Ali Zakariah dan ketua-ketua polis daerah serta pengerusi belia daerah.

Sementara itu, Tuan Ahmad Zakir berkata, golongan belia perlu didekati oleh pihak berkuasa se­perti PDRM untuk menerangkan bahaya dadah dan kesan penyalahgunaannya.

“Penagihan dan pengedaran dadah masih menjadi masalah besar kepada negara. Sudah sampai masanya bagi PDRM dan GB4B be­kerjasama membanteras gejala itu.

“Golongan muda perlu diberi peringatan dan pendidikan bahawa dadah menyebabkan mereka terasing dari masyarakat dan maruah keluarga terjejas dengan penglibatan mereka dalam kancah penyalahgunaan dadah,” ujarnya.