Azman Hamzah, 59, yang menghidap kencing manis kronik serta masalah buah pinggang sejak lima tahun lalu tidak mampu berjalan selepas kaki kirinya dipotong sehingga paras lutut.

Menurut Azman, keadaan itu mengubah hidupnya daripada seorang yang boleh berjalan tetapi kini bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

“Selain kaki kiri dipotong, saya juga kehilangan tiga ibu jari kaki kanan serta terpaksa menjalani dialisis sebanyak tiga kali sehari dan kini dijaga oleh adik perempuan saya di Segari.

“Memang sedih apabila mengenangkan nasib tapi saya harus reda dan Alhamdulillah semasa bekerja sebagai pengawal keselamatan dahulu, majikan ada mencarum dalam Perkeso,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima sumbangan kerusi roda jenis Reclining Commode, di pejabat Perkeso Seri Manjung di sini hari ini.

Azman berkata, kerusi roda biasa yang diperolehnya sebelum ini begitu kecil selain tidak selesa jika duduk terlalu di atasnya.

Katanya, kerusi roda sumbangan Perkeso yang diterimanya hari ini lebih selesa dan berharap akan memudahkan pergerakannya.

“Alhamdulillah terima kasih kepada Perkeso dan semua pihak terlibat yang sangat prihatin dengan apa yang saya perlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Seri Manjung, Mohd. Shaperi Md Salleh berkata, Azman merupakan penerima Pencen Ilat daripada Perkeso dengan bayaran sebanyak RM843 sebulan selepas dipotong kakinya akibat kencing manis.

Menurutnya, kerusi roda baharu itu disumbangkan Perkeso selepas menerima saranan daripada doktor yang memeriksa Azman untuk memudahkan pergerakkannya sama ada mandi mahupun membuang air tanpa perlu mengesot.

“Kami berharap dengan pemberian ini akan memudahkan urusan seharian Azman serta untuk ke hospital menerima rawatan disamping mencuci buah pinggangnya tiga kali seminggu,” katanya. - UTUSAN ONLINE