Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, kegunaan yang tinggi akibat limpahan pesakit semasa musim perayaan menyebabkan bekalan darah hospital itu hampir putus.

“Sepanjang musim perayaan ini HRPZII memerlukan bekalan darah agak tinggi dan bekalan yang ada sekarang ini sangat kritikal.

“Kami menyeru orang ramai tampil kerana peningkatan kes-kes kecemasan, trauma dan pembedahan memerlukan bantuan darah,” katanya di Rumah Terbuka Aidilfitri HRPZII di sini hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran dua bonda saudara Sultan Kelantan, Datuk Tengku Rozan dan Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra.

Sementara itu, Dr Selasawati berkata, bagi mengatasi masalah bekalan darah, terdapat pegawai dan doktor pakar hospital itu sendiri telah turun padang untuk menderma darah.

Beliau berkata, pihaknya berharap contoh baik yang ditunjukkan itu dapat diikuti 4,300 kakitangan yang bertugas di hospital tersebut.

“Saya sendiri akan menderma darah di unit transfusi hospital dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Menurut beliau, semasa pasca hari raya, hospital itu mempunyai hampir 1,000 pesakit yang menerima rawatan dalam wad.

“Kita terpaksa buka wad-wad tambahan termasuk di bahagian rawatan harian untuk menampung pesakit yang ramai,” katanya. - UTUSAN ONLINE