Nasri anak lelaki Rosli yang berusia tiga tahun dimasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu pada 9 Jun lalu akibat jangkitan radang paru-paru.

Sejak lapan hari lalu mangsa berada dalam keadaan tenat dan menggunakan alat sokongan pernafasan dirawat di Bilik Asingan Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik HRPZ II.

Rosli berkata, meskipun sedih dengan kehilangan tersebut, namun dia sudah reda dengan pemergian anaknya itu.

“Anak bongsu saya itu sudah lapan hari berada di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HRPZ11 kerana sesak nafas, batuk , sakit dada dan tekak.

“Mayatnya akan dikebumikan di Kuala Koh, Gua Musang selepas selesai proses bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forenik HRPZ II, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Gazali berkata, mayat di bawa menaiki van jenazah Hospital Gua Musang (HGM) dari HRPZ II ke HGM pada pukul 1230 tengah hari.

“Mayat dihantar ke HGM agar proses bedah siasat dapat dijalanlan oleh sekumpulan pakar forensik yang sudah berada di sana bagi mendapatkan punca sebenar.

“Setakat ini, dengan kematian kanak-kanak itu menjadikan tiada mangsa Orang Asli suku kaum Bateq yang mendapatkan rawatan di HRPZ II,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE