Pegawai Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh, Azizan Abdul Aziz berkata, kesemua pangkalan tersebut dilengkapi dengan makanan serta keperluan asas selama seminggu bagi menampung 7,000 mangsa bencana alam itu.

Beliai berkata, bagaimanapun keperluan asas termasuk bahan makanan akan ditambah mengikut keadaan semasa sekiranya bencana banjir bertambah buruk.

“Bagi menghadapi persediaan awal, kita telah menerima 150 kampit beras; 50 kotak sardin; 50 kotak biskut; 192 kilogram gula; 80 botol minyak masak; 80 bungkus serbuk teh; 498 helai selimut; 169 helai tuala kecil; 345 helai kain pelikat; 407 helai kain batik; 575 helai pakaian kanak-kanak dan 360 botol air mineral.

“Lapan pengkalan hadapan yang terbabit pula ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan, Gaal, Selising dan Semerak. Manakala 56 pusat pemindahan sama ada sekolah, dewan orang ramai, masjid dan surau sudah dikenal pasti,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Azizan berkata, pangkalan hadapan itu tidak termasuk satu setor simpanan barangan bantuan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Pasir Puteh yang dinaik taraf sebagai lokasi yang selamat dari ancaman banjir.

Menurutnya, pada musim banjir tahun lalu seramai 772 mangsa banjir dipindahkan ke lima pusat pemindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil, Dewan Besar SMK Kamil, Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, SK Changgai dan SK Wakaf Raja.

Sementara itu, mengulas mengenai bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) di daerah ini, Azizan berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.7 juta bagi meringankan bebanan 1,086 OKU bermula Januari hingga Oktober tahun ini.

“Bantuan itu dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Skim Bantuan Pekerja Cacat, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Penjagaan OKU dan Bantuan Pesakit Kronik Terlantar,” katanya.

Beliau berkata, kempen mendaftar nama OKU turut giat dijalankan dan berharap keluarga yang mempunyai anak-anak OKU turut tampil membuat pendaftaran tanpa rasa malu.

“Pada tahun ini, JKM Pasir Puteh menyasarkan seramai 500 OKU tampil membuat pendaftaran rasmi. Namun sehingga hari ini kita menerima pendaftaran sebanyak 333 OKU yang membolehkan mereka memohon pelbagai bantuan khas yang disediakan kerjajaan,” katanya.