Beliau menegaskan, berikutan laporan Ketua Audit Negara tersebut, kini diketahui bahawa wujud salah guna kuasa, penyelewengan dana awam dan konflik kepentingan dalam pengurusan SEDIC justeru, terdapat ruang untuk berlakunya penipuan.

“Najib yang memulakan SEDIC harus bertanggungjawab terhadap salah urus melibatkan jutaan ringgit oleh jabatan berkenaan, yang didakwa digunakan untuk tujuan mempertingkatkan masyarakat India di Malaysia. Ini semata-mata adalah gula-gula pilihan raya umum (PRU) oleh bekas Perdana Menteri itu serta MIC untuk mendapat sokongan masyarakat India.

“Sebagai perdana menteri, beliau telah gagal memantau jabatannya sendiri dan perkara ini perlu disiasat bagi mencari jawapan apakah NGO-NGO yang menerima dana itu ada hubungan dengan pemimpin MIC untuk meraih sokongan politik atau menggunakannya bagi kempen PRU. Rakyat Malaysia ada hak mengetahuinya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Setelah membuat laporan SPRM, Thiban turut ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya di sini untuk membuat laporan sama kepada pihak polis.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2018 mendedahkan salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada SEDIC di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dari 2014 hingga 2018.

Menurut laporan itu, SEDIC yang ditubuhkan pada 7 Mei 2014, diberikan peruntukan RM203.89 juta oleh pentadbiran kerajaan terdahulu bagi memberi latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan peningkatan pencapaian pendidikan kepada masyarakat India dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40) dari tahun 2014 hingga 2018.

Bagaimanapun, laporan itu merumuskan program dilaksanakan SEDIC yang dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi India Malaysia (MITRA), adalah kurang cekap kerana tiada rekod dan pangkalan data yang lengkap diselenggarakan untuk menilai pencapaiannya.

Laporan berkenaan juga mendedahkan ada 49 NGO yang tidak memenuhi kriteria tetapi tetap diluluskan penerimaan dana berjumlah RM18.91 juta oleh SEDIC, pada tahun 2017.

Semalam, Pemuda MIC turut membuat laporan berhubung pendedahan laporan Ketua Audit Negara itu kepada SPRM. - UTUSAN ONLINE