Titah baginda, meskipun promosi dan kempen mengenai kepentingan menjaga kesihatan sering diadakan oleh pelbagai pihak, namun ia masih tidak mendapat sambutan menggalakkan.

"Kita tahu dan sedar tanggungjawab Jabatan Kesihatan adalah memberikan rawatan kepada para pesakit, tetapi amalan gaya hidup individu yang mengalami penyakit kronik itu dipengaruhi pelbagai faktor persekitaran yang tidak mampu ditangani oleh pihak jabatan secara bersendirian. 

"Penyakit-penyakit ini boleh dicegah sekiranya setiap individu mengamalkan cara hidup sihat dengan kekal aktif, makan secara sihat, tidak merokok serta menangani tekanan dengan bijak," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan melancarkan kempen hidup aktif peringkat negeri 2019 di pekarangan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis di Padang Behor di sini, semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Azman Mohd. Yusof dan Pegawai Kewangan negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib serta hampir 2,000 orang peserta dalam program tersebut.

Sementara itu, baginda menasihatkan rakyat agar mengamalkan gaya hidup sihat agar sesuatu penyakit itu dapat dicegah lebih awal.

"Bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati, kita tidak mahu rakyat menderita dengan pelbagai penyakit disebabkan amalan hidup tidak sihat seperti pemakanan, merokok, minum minuman keras dan menagih dadah.

"Penyakit yang diakibatkan oleh amalan hidup tidak sihat ini sebenarnya boleh dicegah dan dilakukan pada peringkat awal lagi.

"Jadikanlah amalan hidup sihat dan aktif sebagai budaya dalam masyarakat kita," titah baginda.- UTUSAN ONLINE