Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Md. Farid Md. Rafik berkata, agenda perpaduan rakyat mesti dilakukan secara berterusan di mana penglibatan menyulurh KRT amat diperlukan.

Menurutnya, kementerian akan mengenal pasti punca sebenar sebahagian KRT yang tidak aktif di mana tindakan susulan perlu dilaksanakan.

“Kita perlu tahu faktor penyebab sesebuah KRT tidak aktif. Apa masalah dan kekangannya dalam kepimpinan dan komuniti setempat. Sama ada disebabkan masalah kewangan atau sebab lain perlu dikaji untuk mendapatkan jawapan.

“Jika masalah kewangan, kita akan memastikan KRT menerima peruntukan sewajarnya untuk bergerak aktif seperti mana KRT lain yang menunjukkan prestasi cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jalinan Kasih Peringkat Zon Timur Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan di Pejabat Perpaduan Daerah Bachok, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPNIN Kelantan, Norwahidah Zinalibdin.

Dr. Md. Farid berkata, KRT juga mesti berfungsi dengan cemerlang untuk memantapkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan hari ini memberikan perhatian khusus kepada agenda perpaduan negara dengan KRT yang paling rapat dengan komuniti setempat adalah menjadi agen untuk membangkitkan kesedaran masyarakat. - UTUSAN ONLINE