Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Noni, 34, berkata, dia membuat aduan itu selepas mengesyaki neneknya berusia 90 tahun diabaikan sepanjang tinggal di pusat itu selama kira-kira setahun, iaitu dari 30 Oktober 2017 hingga 7 November 2018.

Katanya, dia kecewa kerana pihak JKM menafikan semua aduan yang dibuatnya pada 21 November tahun lalu selepas melakukan pemeriksaan di pusat berkenaan.

Beliau berkata, neneknya pernah mengalami lebam di bahagian dahi dan muka selepas dipercayai terjatuh dari kerusi roda namun tidak dihantar ke klinik untuk rawatan.

“Pemilik pusat itu mendakwa telah membawanya ke sebuah klinik di Seremban 3. Bagaimanapun apabila saya periksa, tiada rekod kehadiran dicatatkan di klinik tersebut.

“Dia juga pernah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar sebanyak tiga kali sepanjang tinggal di pusat jagaan itu. Dalam kejadian pada tahun lalu, dia mengalami tekanan darah rendah dan dilaporkan pengsan.

“Malangnya, pusat jagaan itu tidak memanggil pihak ambulans atau bergegas menghantarnya ke hospital, sebaliknya meminta saya datang. Dia juga mengalami cirit-birit dan tidak ceria semasa saya melawatnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Media semalam melaporkan penghuni di sebuah pusat jagaan warga emas di Seremban 3 di sini didakwa menjadi mangsa pengabaian dan dera sejak dua tahun lalu apabila mereka dikatakan dikurung, dipukul dan dipaksa minum air kencing.

Noni menambah, semasa tinggal di pusat jagaan itu neneknya juga diberikan pil tidur secara berlebihan dan ini diakui pemilik pusat berkenaan dengan alasan tidak mahu warga emas itu terlalu aktif.

“Ubat itu sepatutnya diberikan apabila perlu, bukannya diberi setiap hari. Kecewa dengan kejadian itu saya membuat keputusan menamatkan kontrak bagi pusat jagaan itu menjaga nenek saya,” jelasnya.

Mengulas kes penderaan yang tular baru-baru ini, Noni mempersoalkan keputusan JKM menutup sementara pusat itu bermula hari ini dan meminta ahli keluarga mengambil warga emas untuk dibawa pulang.

“Penghuni sudah dibawa balik, macam mana hendak periksa berlaku penderaan. Kenapa buat keputusan seperti itu. Sepatutnya bawa ke hospital untuk pemeriksaan.

“Saya minta JKM telus, jangan sorok seperti kes nenek saya. Sepatutnya ada kerjasama antara semua agensi bagi menyiasat perkara ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE