“Kalau abah masih ada, mesti abah pun sibuk buat liputan macam wartawan ini.”

Demikian luahan si kecil, tanda ingatannya terhadap arwah Shamsul Bahari tidak pernah terhakis biarpun sudah sembilan bulan bekas wartawan sambilan akhbar Kosmo! itu pergi menghadap Ilahi.

Shamsul, 46, berkhidmat dengan Kumpulan Utusan biro Kelantan menerusi akhbar Kosmo! sejak 2006, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Gemang, September tahun lalu meninggalkan lima cahaya mata dan isteri, Rohana Yaacob, 46.

Rohana, seorang ustazah Kelas Al-Quran dan Fadhu Ain (KAFA) memberitahu, setiap kali si bongsu mengaitkan arwah dengan para petugas media yang ditonton di televisyen, hatinya sebak namun sedaya upaya cuba menahan air mata agar tidak nampak lemah di hadapan anak-anak.

Selepas kematian suami, Rohana yang bekerja sebagai guru KAFA mencari rezeki tambahan dengan menjual nasi lemak di hadapan rumah mereka di Ayer Lanas bagi menampung perbelanjaan anak-anak yang masih bersekolah di darjah dua hingga tingkatan enam.

Mereka menumpang di sebuah rumah milik ibu bapa Allahyarham Shamsul Bahari di Ayer Lanas, di sini. Rumah kayu itu agak daif dengan dinding dan lantainya sudah mula mereput, berbumbungkan pula kepingan zink yang ditirisi air setiap kali hujan turun.

Hari ini, hati ibu tunggal lima anak itu sedikit lega dan dia mampu tersenyum kerana impian untuk memiliki kediaman lebih selesa akhirnya tercapai apabila menerima bantuan rumah menerusi Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB).

PROJEK BAITI JANNATI TNB

MOHAMAD AZLI (kanan) menyampaikan replika kunci rumah kepada Rohana Yacob (tiga kiri) sambil diperhatikan anak-anaknya di Jeli hari ini. UTUSAN ONLINE/Ghazali Basri.

Keluarga itu menerima kunci rumah baharu mereka bernilai RM50,000 yang disampaikan oleh Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Kelantan, Bahagian Runcit TNB, Muhammad Azli Ab. Rahim, di Kampung Salor, di sini.

Kata Rohana, rumah sumbangan TNB itu bukan sahaja amat bererti, malah dibaratkan seperti ‘hadiah’ terakhir suami buat dirinya dan anak-anak kerana Allahyarham membuat permohonan mendapatkan bantuan tersebut kira-kira sebulan sebelum dijemput Ilahi.

ROHANA YAACOB
ROHANA YAACOB 

“Seminggu selepas arwah pergi, pihak TNB menelefon pejabat Kosmo! di Kota Bharu selepas mereka gagal menghubungi nombor telefon arwah. Mereka mahu memaklumkan permohonan suami saya sudah diluluskan dan tidak tahu dia sudah meninggal dunia.

“Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada pihak TNB kerana prihatin terhadap nasib golongan memerlukan seperti kami,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Azli berkata, projek Baiti Jannati 2019 merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan TNB dan sepanjang tahun ini, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membiayai pembinaan rumah untuk 20 golongan asnaf yang terpilih di seluruh negeri ini.

“Keluarga Rohana merupakan penerima keempat projek Baiti Jannati bagi tahun ini. Baki 16 lagi rumah sedang disiapkan dan dijangka dapat diserahkan kepada para penerima sebelum akhir tahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE