Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, selain empat lelaiki itu, seorang lagi warganegara asing dilaporkan hilang penglihatan disebabkan minum minuman keras yang sama dan kini dirawat di hospital.

Menurutnya, semua mereka berusia antara 30 hingga 36 tahun dan tiga warganegara asing itu terdiri daripada rakyat India, Bangladesh dan Pakistan.

“Siasatan awal mendapati mereka meminum arak jenis Miludeer yang disyaki mengandungi bahan kimia beracun jenis Methanol yang dibeli di pasaran tempatan.

“Bedah siasat ke atas empat lelaki itu akan dijalankan oleh pegawai perubatan hospital untuk mengetahui punca kematian dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Khalil berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa premis dipercayai menjual minuman keras beracun serta yang mengelak untuk membayar cukai dan beberapa serbuan berasingan telah dijalankan satu pasukan khas ditubuhkan bagi menangani kes itu.

Tambahnya, hasil serbuan itu, seramai sembilan tangkapan dibuat masing-masing empat lelaki tempatan dan lima lelaki Indonesia berusia antara 25 hingga 44 tahun di kawasan Johor Bahru Selatan, Seri Alam dan Kulai.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 304(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 kanun yang sama selain itu kes turut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. - UTUSAN ONLINE