Pertandingan itu dimeriahkan oleh juruacara yang juga pelakon drama Tanah Kubur, Nasir Bilal Khan.

Urusetia pertandingan itu, Mohd. Hafiz Mohd. Adnan berkata, peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun itu berpeluang menunjukkan bakat masing-masing dalam pertandingan tersebut anjuran bersama Aneka Jerai Plaza Gurun, Syarikat Ayam Bismi Sdn. Bhd. dan Adabi Sdn. Bhd.

"Kesemua peserta menyediakan masakan berasaskan ayam dengan menggunakan rempah ratus keluaran syarikat Adabi," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut beliau, dalam pertandingan itu, Nor Shakila Ismail, 30, dari Simpang Tiga, Sungai Dasun, Kota Sarang Semut muncul sebagai pemenang utama dengan mendapat hadiah piala, baucar RM300 dan hamper Adabi.

"Tempat kedua dimenangi oleh Kalsom Abdullah Sani, 55, dari Taman Perumahan Pewaja Jalan Bedong yang mendapat piala, baucar RM200 dan hamper Adabi dan ketiga pula dimenangi Hamidah Hussin, 54, Taman Murni, Gurun yang mendapat piala, baucar RM150 dan hamper Adabi," katanya.

Pertandingan diadili oleh dua orang pengadil iaitu Chef Shaifuddin Rosli dari Ayam Bismi Sdn. Bhd dan Chef Mohd. Irwan Mohd. Nor dari Adabi.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Pengurus Besar Adabi Zon Utara, Jaafar Abdul Ghani. - UTUSAN ONLINE