Ketua Sektor Pembangunan dan Perkhidmatan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Sharifah Azatul Imma Syed Aziz berkata, kebanyakkannya kerosakan itu melibatkan bumbung bangunan terkopak dan diterbangkan angin.

Beliau berkata, antara sekolah yang terjejas teruk adalah Sekolah Tengku Budriah (STB) di sini yang menyaksikan enam bumbung melibatkan dua kelas diterbangkan angin sekali gus menyebabkan tempat itu dipenuhi air.

“Sekolah yang terjejas itu membabitkan tiga Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) dan 16 Sekolah Kebangsaan (SK). Kita sedang kumpulkan laporan sebelum menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi memohon peruntukkan,” katanya ketika ditemui selepas melawat STB di sini hari ini.

Tambahnya, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.

Sementara itu, Guru Besar STB, Azhar Darus berkata, ribut dan hujan lebat itu berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi dan berlarutan sehingga beberapa jam.

Katanya, ketika melakukan rondaan pada pukul 8 pagi, dia melihat dua buah kelas dipenuh air selepas bumbung bangunan itu diterbangkan angin.

“Murid-murid di kelas berkenaan kemudian dibawa ke kantin sebelum dipindahkan ke kelas lain. Kebanyakkan murid-murid yang terlibat itu basah kuyup, namun tidak mengalami sebarang kecederaan atau kemalangan lain” katanya.- UTUSAN ONLINE