Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Datuk Yahya Madis berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 jam bermula pukul 5 petang semalam untuk memadamkan kebakaran.

“Kebakaran sudah pun dapat dikawal sepenuhnya. Kebakaran ini tidak melibatkan bangunan berhampiran kerana kawasan tersebut lapang dan jauh dari bangunan lain.

“Kawasan yang terlibat berkeluasan 120X200 kaki persegi iaitu kira-kira 80 peratus. Punca kebakaran daripada longgokan bahan plastik dalam kawasan kilang tersebut. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini sebentar tadi.

Kerja-kerja memadam kebakaran di kilang penyimpanan plastik itu melibatkan 45 anggota bomba dan 22 bomba sukarelawan dari Kulai, Skudai, Tebrau dan Pasir Gudang.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku kerana semasa kebakaran semua yang berada dalam kilang sempat menyelamatkan diri.

Pihak bomba menggunakan 29 tong mengandungi buih padam kebakaran (FOAM) untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak. - UTUSAN ONLINE