Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, daripada bilangan itu, 66 peratus kes melibatkan pelajar sekolah, 33 peratus berusia 18 tahun ke atas dan selebihnya melibatkan kanak-kanak berusia bawah umur enam tahun.

“Kebanyakkan pesakit mengalami gejala muntah, loya, pening kepala serta sesak dada dan sebahagian kecil mengalami batuk, sakit dada, mata pedih dan sakit tekak. Berbanding dengan kejadian insiden Sungai Kim Kim pada Mac lalu, presentasi kes kali ini adalah tidak serius dan tiada yang dirawat di ICU dan tiada kematian.

“Sebanyak 23 sampel klinikal pesakit yang telah dimasukkan wad telah dihantar dan keputusan daripada lapan kes yang telah diperolehi adalah negatif bagi Urine Cyanide, Blood cyanide dan bahan kimia tidak stabil (VOC),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor (DUN) Yang Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohd. Khuzzan berkata, sehingga 5 petang semalam, seramai 38 kes baru dilaporkan dengan dua pesakit masih di wad untuk rawatan.

Katanya, sebanyak 38 pelajar daripada sembilan buah sekolah mengalami masalah kesihatan iaitu Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Madrasah Alattas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Desa Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Konkong Laut, SK Permas Jaya 4, SK Ulu Tiram, SK Taman Scientex, SK Taman Rinting 3 dan SK Kota Masai.

“Namun begitu, sesi persekolahan masih diteruskan seperti biasa dan dijalankan di aras bawah sekolah berkenaan memandangkan semua mangsa yang mengalami simptom berada di aras 3 dan 4 sekolah-sekolah yang terjejas.

“Bagaimanapun, pihak pentadbiran sekolah telah diarahkan membuka pintu dan tingkap di aras atas bagi tujuan pengaliran udara dan pasukan petugas pemantauan kualiti udara masih meneruskan operasi secara serentak di 100 buah sekolah pada hari ini,” katanya.

Beliau memberitahu, secara keseluruhan sebanyak 1,127 kes pencemaran udara di Pasir Gudang dilaporkan sejak gelombang kedua bermula pada 20 Jun lalu sehingga semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu 1,044 mangsa pencemaran mendapatkan rawatan pesakit luar dan 45 lagi dimasukkan ke dalam wad HSI hingga petang semalam. - UTUSAN ONLINE