Namun, berat di dalam hati, Nor Haizah Din,50, tiada siapa tahu apabila melihat anak bongsu kesayangannya, Nor Afifudin Amir, kini berusia 21 tahun hanya mampu terlantar dan memerlukan penjagaan rapi selepas disahkan mengalami masalah Cerebral Palsy sejak lahir.

Ketika rakan-rakan seusianya sedang melayari kehidupan alam remaja dengan penuh gembira, Nor Afifudin yang mesra dipanggil Udin itu hanya terlantar di ruang tamu rumah dan menghabiskan masa seharian bersama ibunya.

Semasa berkongsi cerita dengan wartawan dalam keadaan air matanya yang bergenang, hanya satu harapan Nor Haizah agar Allah SWT memanjangkan usianya bagi menjaga anak syurga itu sehingga akhir hayat.

Nor Haizah berkata, selepas berpisah dengan suaminya sejak 20 tahun lalu, dia mengambil tanggungjawab membesar empat orang anaknya termasuk Udin yang memerlukan perhatian rapi.

Katanya, jika dahulu dia mencari rezeki dengan mengambil upah membersihkan rumah, kini Nor Haizah hanya bergantung hidup dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan baitulmal.

"Selepas tiga anak perempuan saya berkahwin, saya tidak boleh lagi bekerja kerana perlu menjaga Udin di rumah. Dahulu, kakak-kakaknya boleh membantu menjaga Udin ketika saya bekerja di luar. Udin memerlukan penjagaan rapi dan saya sahaja yang memahami apa yang diingini oleh Udin yang sering menggunakan isyarat mata jika mahu meluahkan sesuatu.

"Setiap pagi, saya mengangkat Udin ke bilik air untuk mandi sebelum memberinya makan nestum dan susu melalui tiub. Pada malam, saya akan tidur bersama Udin di ruang tamu rumah. Kami berbual dengan cara tersendiri, kadang-kala bila saya sedih, Udin seolah-olah merasai apabila dia turut mengalirkan air mata.

"Selain tiga anak saya, Udin adalah dunia saya dan saya tenang menjaga anak syurga ini.
Kadang-kala terfikir, apa akan jadi dengan Udin jika saya sudah tiada nanti," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Tambahnya, Udin adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai serta istimewa dan apabila bersama anak bongsunya itu membuatkan dia merasa cukup tenang meskipun kehidupan mereka sekadar cukup makan sahaja.

Dalam pada itu, sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga tersebut, boleh berbuat demikian dengan memberi sumbangan yang boleh disalurkan ke akaun Maybank
159012918623 milik Nor Haizah manakala dia boleh dihubungi di talian 017-4555947.

Dengan bantuan tersebut, sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga itu menyediakan keperluan harian kepada Udin.- UTUSAN ONLINE