Menyedari perlu kesemua keluarga tersebut untuk dibantu, sepasukan petugas Malaysian Releif Agency (MRA) Kelantan tampil memberikan bantuan menerusi program Jejak Asnaf MRA: Ramadan 2019, semalam.

Menurut Ahli Jawatankuasa MRA Kelantan, Mohd. Zakri Ab. Rahman, kesemua 20 keluarga asnaf tersebut tinggal di kawasan timbunan ‘pergunungan’ sampah tanpa memperoleh bekalan elektrik dan sumber bekalan air bersih.

“Mereka mencari rezeki dengan mengasingkan sampah-sampah yang ada seperti plastik, tin, botol, besi buruk dan sebagainya yang akan di ambil oleh pihak pembeli nanti. Secara purata pendapatan yang diperolehi sekitar RM30 hingga RM50 sehari untuk menampung keperluan keluarga.

“Tiada bekalan elektrik atau air bersih di sini, mereka mendapatkan sumber air dari perigi yang berdekatan. Di sebalik kedaifan mereka, pembelajaran anak-anak masih menjadi keutamaan, kanak-kanak di sini kebanyakan bersekolah di sekolah yang terdekat,” katanya menerusi perkongsian dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

PETUGAS-PETUGAS MRA Kelantan bersama sebahagian asnaf di yang tinggal di tapak pelupusan sampah
PETUGAS-PETUGAS MRA Kelantan bersama sebahagian asnaf di yang tinggal di tapak pelupusan sampah, Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan untuk diberikan bantuan dalam program Jejak Asnaf MRA: Ramadan 2019, semalam.- UTUSAN ONLINE/Facebook Mohd. Zakri Ab. Rahman

Tambah Mohd. Zakri, menerusi program tersebut, MRA Kelantan telah memberi sumbangan antaranya berupa pek makanan, pek solat serta pek kebersihan untuk kesemua keluarga tersebut.

“Hasil sumbangan dermawan MRA, kami telah mengagihkan 20 pek makanan, 100 bungkusan pek berbuka puasa, pek solat yang  mengandungi telekung, kain pelikat dan sejadah serta pek kebersihan untuk setiap keluarga. 

“Sumbangan wang zakat dan juga duit raya turut diagihkan kepada setiap keluarga dan kanak-kanak,” katanya. - UTUSAN ONLINE