Majlis yang dihadiri kira-kira 10,000 jemputan itu berlangsung meriah dengan mengorbankan tiga ekor kerbau, dua ekor lembu dan 200 ekor ayam.

Ia bukan sahaja melakar sejarah manis buat keluarga Tayib Zakaria, 55, dan isterinya, Siti Aishah Shafie, 48, tetapi juga penduduk kampung itu kerana melibatkan pasangan pengantin paling ramai pernah diadakan serentak.

Majlis itu melibatkan anak pertama Tayib iaitu Mohd. Izwan Haris Tayib, 28, dan pasangannya, Farah Adiba Pisol, 25; serta anak kedua, Mohd. Najhan Hafiq, 26, dan pasangannya, Huziana Yap Nget Foh, 22.

Selain itu anak keempatnya, Mohd. Fakhrul Ikram, 23, dan pasangannya, Siti Nurasmiza Sabri, 21; anak kelima, Nur Aqila, 21, dan pasangannya, Mohd. Rais Romli, 22, serta anak keenam, Nur Anita Dalilah, 19, dan pasangannya, Mohd. Firdaus Harta, 23.

Anak perempuan ketiga Tayib sudah pun melangsungkan perkahwinan sebelum ini manakala yang bongsu masih bersekolah di tingkatan empat.

Mohd. Izwan yang bekerja sendiri melahirkan rasa syukur kerana majlis tersebut berlangsung meriah dan berjalan lancar.

“Selaku abang sulung, kami adik beradik berpakat mengeluarkan belanja kenduri dan menyerahkan kepada bapa untuk menguruskannya.

“Saya sama sekali tidak menyangka bahawa kami adik beradik akan berkahwin pada hari yang sama,” katanya ketika ditemui. - UTUSAN ONLINE