TNB dalam satu kenyataan memberitahu, melaluinya tempoh gangguan bekalan dapat dipendekkan kerana TNB mampu melakukan kerja-kerja pemulihan elektrik secara proaktif dan lebih pantas berikutan lokasi gangguan dapat dikenal pasti sebelum laporan atau aduan dibuat pengguna. 

“Antara ciri meter pintar ini yang akan diaktifkan TNB secara berperingkat termasuklah pemakluman kepada pengguna secara automatik sekiranya terdapat gangguan bekalan serta pemakluman bekalan telah dapat dipulihkan.

“Kelebihan lain meter pintar itu termasuk membolehkan pengguna mendapatkan maklumat bil dan penggunaan secara dalam talian, sekali gus membantu mereka menguruskan bajet tenaga isi rumah dengan lebih bijak,” katanya, di sini hari ini.

Kenyaataan itu menambah, tujuan TNB memperkenalkan meter pintar adalah demi masa depan yang lebih hijau dan bijak tenaga kerana usaha itu berpotensi besar mempertingkat kepuasan pelanggan menerusi amalan penggunaan elektrik yang lebih cekap tenaga. 

Ujarnya, selepas Melaka, pemasangan meter pintar akan dikembangkan ke Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh Semenanjung Malaysia. – UTUSAN ONLINE