Salah seorang ahli keluarga dikenali sebagai Basir berkata, pihaknya memaklumkan tentang kejadian itu kepada ibu mangsa, Rosnani Ibrahim,50-an, dan bapa mereka, Wan Kamaruzzaman Wan Mohamad, 50-an, serta adik perempuan, Wan Nur Aqilah, 20-an, menerusi ejen pengurusan umrah.

“Mereka reda dengan kejadian menimpa Wan Nur Athirah, Wan Nur Afifah dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi dengan memutuskan untuk kembali ke Malaysia bagi melihat insan tersayang buat kali terakhir.

“Ejen pengurusan umrah berkenaan memberitahu ketiga-tiga mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11 pagi esok dan dibawa terus ke Kemaman, Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, jenazah tiga beradik berkenaan dibawa ke Hospital Kemaman, Terengganu malam ini sebelum dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapur, Binjai di Kemaman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi tadi itu, Wan Nur Athirah, Wan Nur Afifah dan Wan Muhammad Mahathir Rafiqi maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Cherry Easter dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam parit di tepi laluan utama Jalan Pekan-Kuantan.

Dua lagi penumpang ialah ibu saudara, Salmah Ibrahim, 58, serta anaknya, Nurul Aliani Zawawi, 25, kini dirawat di HTAA. - UTUSAN ONLINE