Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka untuk melaksanakan apa jua pendekatan yang terbaik itu bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan awal kanak-kanak.

"Seperti saya sebut, modul boleh berubah dari semasa ke semasa, kalau kita lihat perbandingan Pasti dan Permata, mana-mana baik yang ada pada Pasti akan dimasukkan kepada Permata dan begitulah sebaliknya, kita tidak ada masalah.

"Dengan perkembangan semasa teknologi dan pembaharuan maka akan ada pelbagai teknik dan modul terbaik oleh itu, kita tidak akan rigid pada satu-satu modul dan mana yang terbaik akan kita ambil untuk diaplikasikan di tempat kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hafaz Muqaddam dan Graduasi Kanak-kanak Taska Permata Keluarga bagi Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan Pengarah YPKT Mohd. Shafaruddin Mustaffa. 

Seramai 211 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun daripada sembilan Taska Permata Keluarga di Parlimen ini diraikan dalam majlis graduasi itu apabila berjaya menghafaz 23 surah lazim.

Program tradisi tahunan itu secara keseluruhannya disertai seramai 1,170 kanak-kanak di seluruh negeri yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai pengajian al-Quran di samping memupuk minat dan kecintaan dalam usaha membudayakan al-Quran.

 Wan Sukairi memberitahu, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta bagi pengendalian 166 Taska Permata Keluarga di negeri ini, tahun ini. - UTUSAN ONLINE