Ikuti laporan langsung perbicaraan dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur oleh wartawan SUWARNI MOKHTAR, HANIZA HASSAN dan jurugambar AMIN FARIJ HASSAN.

5.04 petang:

Setelah mendengar keterangan lima orang saksi pendakwaan, perbicaraan kes bekas Perdana Menteri ditangguhkan dan akan disambung esok.

Najib juga dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah pada pukul 4.55 petang.

 

4.10 petang:

Saksi pendakwaan ke-15, Datuk Seri Marcus Mojigoh yang merupakan Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) pada 2015 mengesahkan menerima RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri.

Wang berkenaan diterima melalui cek yang kemudian diagihkan kepada bahagian-bahagian bagi menjayakan program 'Sayang' yang merupakan salah satu program khidmat masyarakat.

3.26 petang:

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi menyatakan sumbangan daripada UMNO pusat itu adalah selalu berlaku bukan sahaja ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri.

Ditanya kegunaan wang RM1 juta tersebut, Ahmad Sahar memaklumkan ia adalah untuk kegunaan pengurusan disalurkan kepada bahagian-bahagian lain untuk tujuan program parti.

Saksi selesai memberi keterangan.

2.55 petang:

Saksi mengesahkan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM1 juta pada tahun 2015 daripada UMNO pusat.

2.47 petang:

Perbicaraan kes bermula dengan pihak pendakwaan memanggil saksi ke-13 mereka iaitu Ahmad Sahar Shuib yang merupakan Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

 

12.35 tengah hari:

Perbicaraan hari ketujuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tujuh pertuduhan salah guna jawatan, pecah amanah dan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta membabitkan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang.

Perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu sepatutnya bermula pada pukul 12 tengah hari ini.

Bagaimanapun, peguam  Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa rayuan bekas Presiden UMNO  untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya masih berlangsung di Mahkamah Persekutuan.

"Hujahan berhubung rayuan berkenaan mengambil masa yang lebih lama berbanding yang kami jangkakan memandangkan pihak pendakwaan turut mengemukakan bantahan awal. Sehubungan itu, kami memohon perbicaraan bermula pada sebelah petang," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaran tidak membantah permohonan pasukan pembelaan itu.

Hakim Mohd. Nazlan menetapkan perbicaraan bersambung pada pukul 2.30 petang dan dijangka berlangsung sehingga lewat petang.