Presidennya, Datuk Ser Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, Muay Thai merupakan seni bela diri yang berasal dari Thailand dan mempunyai kaitan yang amat rapat dengan penduduk di negara ini khususnya di Kelantan dan Kedah. 

Beliau berkata, tidak ada sebab hasrat tersebut ditolak sekiranya seni bela diri seperti Karate dan Taekwando yang berasal dari ‘jauh’ dapat diterima sebagai sebahagian daripada kokurikulum di sekolah.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai perkara ini, dan beliau memberikan respon yang amat positif dengan meminta pihak kami berbincang dengan Kementerian Pendidikan.

“Modul untuk kokurikulum ini telah siap dan bersesuaian dengan sekolah-sekolah di negara kita dan MFMP akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Fared yang juga wakil Pertubuhan Muay Thai Dunia (WMO) di negara ini berkata, buat permulaan kokurikulum tersebut akan diperkenalkan di negeri ini terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke seluruh negara.

Katanya, sukan tersebut mengajar ahlinya tentang disiplin yang tinggi serta budaya menghormati satu sama lain.

“Muay Thai adalah sukan yang popular di seluruh dunia dan ini secara tidak langsung akan membantu negara melahirkan petinju-petinju muda.

“Malah ini akan memberi ruang kepada bekas petinju untuk menurunkan ilmu mereka kepada generasi muda disamping menjana pendapatan sebagai jurulatih,” katanya.

Tambahnya, setiap jurulatih perlu memiliki lesen sekurang-kurangnya kelas C yang dikeluarkan oleh Pertubuhan  Kru Muay Thai (KMA)

“Kami amat berharap Kementerian Pendidikan mempertimbangkan hasrat ini bagi memastikan seni bela diri ini dapat diteruskan,” katanya. - UTUSAN ONLINE