Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan Zakir Naik, namun mengambil kira suasana semasa pihaknya akur kerana mungkin ada aspek tertentu yang dalam maklumat pihak berkuasa ketika ini.

"Siasatan terhadap beliau (Zakir Naik) sedang berjalan dan biarkan proses itu dilaksanakan. Banyak lagi perkara lain yang boleh kita lakukan di Terengganu.

"Kita tiada perancangan atau program Zakir Naik di negeri ini, malah sebelum timbul kekecohan baru-baru ini pun tiada jadual untuk membawa beliau ke sini, jadi tidak timbul isu kita langgar arahan sesiapa sebab kita tiada perancangan ke arah itu," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas melancarkan Buku Menteri Besar Terengganu 'Melunas Sumpah, Menunai Janji’ di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahaya.

Baru-baru ini, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata akan menasihati kerajaan negeri supaya jangan memberi kebenaran kepada Zakir Naik berkunjung ke negeri ini untuk berceramah bagi mengelak sebarang insiden tidak dingini berlaku.

Aidi bagaimanapun memberitahu, sehingga kini polis tidak menerima sebarang permohonan sama ada daripada Zakir Naik sendiri atau mana-mana ejen pendakwah berkenaan untuk mengadakan ceramah di Terengganu. - UTUSAN ONLINE