Ahli Jawatankuasa Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kenyataan dangkal itu jelas menghina penjawat awam terutama pasukan ATM yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Katanya, sebagai benteng pertahanan kerajaan Malaysia, peranan ATM dipandang mulia termasuk kejayaan mempertahankan negara ketika zaman penjajahan Jepun, pemberontakan dan serangan komunis di samping terbabit dalam misi keamanan di luar negara, bahkan bukan semua rakyat mampu menggalas tanggungjawab anggota pasukan keselamatan itu.

"Saya ingin bertanyakan kepada Yew Yin, jika negara berada di kancah peperangan, sanggupkah beliau bersama-sama ATM mengangkat senjata mempertahankan negara?

"Jika hanya pandai bercakap tetapi belum tentu sanggup berkorban nyawa mempertahankan tanah air, lebih baik anda diam dan tutup mulut," katanya dalam catatan di laman Facebook di sini hari ini.

Yew Yin dalam tulisan di laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan dan antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan ATM sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar mengambil tindakan tegas terhadap Yew Yin dan mana-mana individu yang menggugat ketenteraman serta keamanan negara terutama membabitkan isu perkauman, agama di samping menghina penjawat awam.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan hukuman setimpal ke atas golongan berkenaan berikutan keadaan ketika ini yang menjadi tidak terkawal dan makin melampau.

"Kata-kata Yew Yin bukan sahaja menghina ATM, bahkan para peneroka Felda, seolah-olah Felda merupakan satu tempat yang teruk dan para anggota keselamatan negara layak ditempatkan di sana kerana hanya tahu makan dan tidur. Tidak kira anggota ATM mahupun peneroka mereka menyumbang tenaga kepada negara.

"Jangan ingat anda (Yew Yin) penyumbang dana kepada PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, jadi boleh berkata dan menghina sesuka hati. Malaysia negara merdeka dan berdaulat, usah jadi petualang kepada rakyat dan negara," tegasnya. - UTUSAN ONLINE