Wakil Wanita UMNO Johor, Norshida Ibrahim berjanji untuk memberi sokongan dan membantu Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memulihkan semangat serta memperkasakan perjuangan parti.

“Usaha ini penting dalam mengembalikan kepercayaan rakyat demi mendapatkan kembali mandat pengundi kepada UMNO dengan bermuhasabah diri dan mencari titik persamaan melalui kaedah terbaik.

“Selain itu, Wanita UMNO bertekad membina momentum kebangkitan jentera siber dan mengubah corak pemikiran supaya selari dengan kehendak serta keperluan semasa yang memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat berkata demikian ketika ditanya mengenai perbahasannya tentang usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE