Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, keyakinannya itu berdasarkan kepada pengalaman beliau yang pernah bersama-sama Mohamed Azmin sewaktu parti itu mula ditubuhkan pada tahun 1999 lalu.

Menurutnya, beliau yakin Mohamed Azmin yang kini menjadi individu terpenting bukan sahaja dalam parti malah di peringkat Kabinet akan terus kekal bersama parti itu membangunkan agenda kerajaan Pakatan Harapan.

“Berdasarkan pengalaman lama saya mengenali beliau sejak era Reformasi, saya percaya beliau tidak akan beralih arah dari PKR yang diasaskan bersama-sama.

“Ketika itu saya sebagai pimpinan Pemuda manakala beliau di peringkat negeri Selangor dan saya yakin apa saja masalah yang berlaku tidak akan menjadi sebab untuk Mohamed Azmin angkat kaki daripada parti,” katanya.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN (lima dari kanan) bergambar bersama petugas media pada Majlis Makan Teng

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN (lima dari kanan) bergambar bersama petugas media pada Majlis Makan Tengah Hari dan Dialog Pengamal Media Bersama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari dan Dialog Pengamal Media Bersama Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Setiausaha Politik kepada Mohamed Azmin, Hilman Idham semalam mendakwa, ada hasrat dalam kalangan ahli atau pemimpin PKR yang gembira sekiranya ketuanya itu meninggalkan parti tersebut, selepas dilihat tidak lagi sebulu dengan Anwar.

Utusan Malaysia sebelum ini dimaklumkan sumber bahawa Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dijangka keluar daripada PKR dan menyertai parti Gerakan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, Mohamed Azmin ketika ini mempunyai kedudukan penting bukan sahaja dalam parti sebagai timbalan presiden, malah di peringkat kerajaan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, khidmat Mohamed Azmin diperlukan oleh kerajaan untuk memastikan negara berada pada landasan ekonomi yang betul.

Ditanya sama ada beliau telah berjumpa dengan Mohamed Azmin dalam tempoh kebelakangan ini, Shamsul Iskandar berkata, beliau tidak sempat menghubungi atau berjumpa dengan Mohamed Azmin namun yakin bekas Menteri Besar Selangor itu akan terus setia bersama parti. - UTUSAN ONLINE